Pogba sudah bersedia

MANCHESTER, United Kingdom, 11 Jan – Paul Pogba akan kembali cergas selepas kecederaan yang dialaminya untuk menyertai Manchester United menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini, kata pengendali sementara United, Ole Solskjaer semalam.

Pemain tengah Perancis itu menyertai latihan bersama rakan sepasukannya di Dubai minggu ini selepas kecederaan yang dialaminya ketika menang 2-0 ke atas Newacastle pada 2 Januari lalu.

Pogba turut terlepas saingan Piala FA dalam kemenangan 2-0 ke atas Reading, namun dia berlatih dengan baik di Emiriah Arab Bersatu, menurut kenyataan Solskjaer.

“Dia kelihatan baik dan dia akan kembali cergas. Dia masih mempunyai masalah namun selepas beberapa sesi terakhir di semakin baik,” kata pengendali Norway itu.

Solskjaer telah menghasilkan permulaan yang sempurna sebagai jurulatih United sejak menggantikan Jose Mourinho pada 19 Disember lalu, dengan memenangi kelima-lima perlawanan setakat ini.

Bekas penyerang United, yang dipinjam daripada kelab Norway, Molde sehingga berakhirnya musim ini, menjelaskan dia berminat untuk menggalas tugasnya di Old Trafford sebagai pengurus tetap.

Walau bagaimanapun, pencabarnya pada Ahad ini, ketua jurulatih Tottenham Mauricio Pochettino dipercayai akan menjadi calon utama yang akan mengisi jawatan itu di United. – AFP

Pogba (kanan) berdepan penjaga gawang Newcastle United pada saingan Liga Perdana Inggeris di St James Park pada 2 Januari lalu. – AP