Thursday, October 10, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pohon keampunan dengan istighfar

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Ucapan istighfar antara kalimah zikir yang disukai Allah SWT dan zikir tersebut merupakan salah satu cara memohon keampunan kepadaNya daripada dosa yang telah dilakukan oleh hambaNya dan Rasulullah SAW sendiri yang tidak berdosa, beristighfar lebih daripada 70 kali dalam sehari, apatah lagi manusia biasa yang banyak berdosa adalah sangat dituntut selalu beristighfar kepada Allah SWT.

    Perkara itu antara yang ditekankan pada Tazkirah Subuh, Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. Tazkirah bertajuk ‘Istighfar’ itu disampaikan oleh Pegawai Ugama Kanan, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman (gambar).

    Beliau antara lain menekankan manfaat membaca zikir istighfar antaranya cerminan kepada kesedaran diri orang-orang yang bertakwa, ia juga merupakan sumber kekuatan ummah, dapat menolak bencana dan menjadi salah satu syarat turunnya keberkatan dan rahmat Allah SWT.

    Tambah beliau, melazimi beristighfar akan menghilangkan kesedihan dan kesempitan serta memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka dan beristighfar akan mendapat syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita semua taufik untuk beristighfar.

    Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap, KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Haji Roslan bin Haji Taja’ah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda