Pokemon Go tarik minat pemain derma darah

TOKYO, 12 APRIL – Pusat derma darah di Jepun muncul dalam permainan telefon pintar megahit Pokemon Go dalam usaha untuk menggalakkan rakyat negara ini menderma darah.

Usaha itu mendapat sambutan menggalakkan apabila beberapa pemain Pokemon Go telah menderma darah buat pertama kali sejak sedekad, menurut Jiji Press. Permainan itu “memberi peluang kepada pemain mempelajari mengenai program derma darah,” kata seorang pegawai Persatuan Palang Merah Jepun.

Dalam Pokemon Go, 45 pusat derma darah di wilayah Kanto-Koshinetsu termasuk Tokyo, menjadi “PokeStops,” dan pemain boleh memperoleh barang permainan.

Pada November tahun lalu, syarikat perisian AS Niantic Inc. mencadangkan pusat derma darah dimasukkan ke dalam permainan itu. 

Susulan itu pusat derma darah telah ditambah ke dalam aplikasi Pokemon Go pada 23 Mac tahun ini selepas Jepun menarik balik langkah-langkah pra-kecemasan COVID-19.

Pemain boleh menerima hadiah istimewa menerusi permainan jika melawatpusat derma darah.

“Kami sangat berterima kasih atas cadangan Niantic, kerana sebelum ini program derma darah kurang mendapat sambutan akibat pandemik COVID.

“Orang ramai boleh bermain Pokemon Go di bilik rehat di pusat derma darah dan jumlah pengunjung semakin meningkat,” kata seorang pegawai di wilayah Kanto-Koshinetsu. – Bernama