Pokok 15 meter hampir hempap rumah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Sepohon pokok setinggi 15 meter rebah merosakkan sebahagian pagar dan atap rumah dalam kejadian pokok tumbang di Kampung Belais, Temburong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, lima orang anggota bomba dan penyelamat dengan sebuah jentera yang diketuai oleh ABKS 532 Mohd Salleh bin OKM Haji Jafar dari Balai Bomba Rataie dikerahkan ke lokasi pokok tumbang di sebuah rumah di kawasan Kampung Belais, Temburong.

Menurut kenyataan itu, apabila anggota JBP tiba di tempat kejadian, mereka mendapati sepohon pokok asam telah tumbang dan menghempap atap rumah itu.

Mereka segera bertindak dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memotong serta mengalihkan pokok yang berukuran kira-kira 15 meter panjang dan 120 sentimeter garis pusat itu. Operasi itu diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba Rataie, Pemangku DSO Adanan bin Salat dan tiada sebarang kecederaan serta kerosakan harta benda besar dilaporkan.

JBP menyarankan pokok-pokok jangan ditanam terlalu dekat dengan rumah dan amalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok berkenaan, pokok yang ditanam mesti sentiasa dijaga, diawasi dan dipotong sebelum keadaan tidak terkawal serta tidak meletakkan kereta mereka berdekatan dengan pokok-pokok besar ditakuti perkara tidak diingini berlaku.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang merosakkan pagar sebuah rumah dalam kejadian di Kampung Belais, Temburong, kelmarin. – Gambar serahan JBP