Pokok avokado berbuah selepas lima tahun

Oleh Norizan Murshid

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Di sebalik rupanya yang kurang menarik, buah avokado menyimpan 1001 khasiat untuk kesihatan manusia.

Buah avokado secara saintifiknya dikenali sebagai Persea Americana turut dikenali sebagai buah mentega atau alligator pear berpotensi sebagai pencegah kanser, membantu mencegah penyakit jantung dan mengurangkan obesiti.

Di Negara Brunei Darussalam, pokok avokado juga boleh tumbuh dan salah seorang pesara kerajaan, membuktikan pokok avokado ditanamnya lima tahun yang lalu berjaya menghasilkan buah di perkarangan rumahnya di Kampung Bebatik Kilanas.

Beliau memberitahu benih pokok tersebut dibeli dari Tenom Sabah.

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi tentang khasiat buah avokado untuk kesihatan kita.

Bukan sahaja berkhasiat malahan sedap dan mudah untuk dijadikan salah satu bahan dalam menu makanan harian seperti salad buah, jus dan sebagainya.

Buah avokado yang sudah masak dan dibelah dua oleh pemilik pokok tersebut di Kampung Bebatik Kilanas, menunjukkan isinya yang kekuningan seperti mentega.