PARIS, 1 FEB – Menanam lebih banyak pokok di kawasan bandar untuk menurunkan suhu musim panas boleh mengurangkan kematian yang dikaitkan secara langsung dengan cuaca panas dan gelombang panas sebanyak satu pertiga, kata penyelidik hari ini.
Pemodelan mendapati meningkatkan kanopi pokok sehingga 30 peratus akan mengurangkan 0.4 darjah Celsius secara purata, semasa bulan-bulan musim panas, menurut laporan mereka dalam The Lancet.
Daripada 6,700 kematian pramatang yang disebabkan oleh suhu yang lebih tinggi di 93 bandar raya Eropah sepanjang 2015, satu pertiga boleh dicegah, menurut penemuan itu.
Ketika ini, hanya di bawah 15 peratus persekitaran bandar di Eropah, secara purata, diliputi oleh beberapa jenis dedaunan.
Kajian itu adalah yang pertama meramalkan jumlah kematian pramatang akibat suhu yang lebih tinggi di bandar-bandar yang boleh dicegah dengan tambahan kanopi pokok, kata pengarang utama Tamara Lungman, seorang penyelidik di Institut Kesihatan Global Barcelona.
“Kita sudah tahu suhu tinggi dalam persekitaran bandar dikaitkan dengan hasil kesihatan yang negatif, seperti kegagalan pernafasan, kemasukan ke hospital dan kematian pramatang,” katanya dalam satu kenyataan.
“Matlamat kami adalah untuk memaklumkan dasar tempatan dan pembuat keputusan tentang faedah mengintegrasikan infrastruktur hijau secara strategik ke dalam perancangan bandar untuk menggalakkan persekitaran bandar yang lebih mampan, berdaya tahan dan sihat.”
Bandar-bandar merekodkan suhu yang lebih tinggi dari pinggir bandar atau luar bandar sekitar disebabkan oleh kesan yang digelar pulau haba bandar.
Kepanasan ekstrem terutamanya disebabkan oleh kekurangan tumbuh-tumbuhan, ekzos daripada sistem penghawa dingin, di samping asfalt berwarna gelap dan bahan binaan yang menyerap dan memerangkap kehangatan.
Perubahan iklim sudah pun menambah masalah. Tahun lepas, Eropah mencatatkan musim panas mencecah rekod dan tahun kedua terpanas. – AFP
