Pokok hempap pagar rumah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Satu lagi kejadian pokok tumbang telah dilaporkan, baru-baru ini, melibatkan sepohon pokok jati berukuran 11 meter panjang yang menghempap sebahagian pagar sebuah rumah di Kampung Kasat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), tiga orang anggota dari Balai Bomba Sungai Kebun yang diketuai oleh ABKS 770 Khairul Azmin bin Haji Mohd Roslee dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 9:49 pagi.

Anggota bomba segera bertindak memotong pokok tersebut dengan menggunakan gergaji rantai dan dalam kejadian itu tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai dan pemilih rumah untuk mengelakkan menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan mengamalkan langkah membuat penjarakan bagi penanaman pokok.

Pokok merupakan elemen penting bagi manusia dan haiwan, tapi ia juga boleh mendatangkan kemudaratan dan risiko kepada sekeliling seperti pokok tumbang yang boleh menghempap rumah semasa cuaca tidak menentu.

Pokok-pokok yang ditanam mestilah sentiasa dijaga dan diawasi serta dipotong sebelum keadaan tidak terkawal dan jangan meletakkan kereta berdekatan dengan pokok-pokok besar ditakuti perkara yang tidak diingini akan berlaku.

Kerja-kerja memotong dahan pokok dalam kejadian pokok tumbang di Kampung Kasat. – Gambar serahan JBP