Pokok kurma diiktiraf UNESCO

DUBAI, 12 DIS – Pokok kurma, yang diiktiraf oleh UNESCO semalam, telah memainkan peranan penting berabad lamanya dalam perkembangan peradaban di rantau panas dan kering di dunia Arab.

Sekarang pengetahuan, tradisi dan amalan pokok kurma telah ditulis dalam senarai Warisan Budaya Kemanusiaan UNESCO.

Pokok itu, dengan akarnya menembusi jauh ke dalam tanah, membenarkannya membesar dalam iklim tandus dan kering-kontang, yang telah menjadi sumber makanan dan juga keuntungan ekonomi.

“Pokok kurma tumbuh di oasis di kawasan padang pasir yang menandakan kehadiran paras air yang sesuai untuk penyaliran,” menurut pencalonan yang dikemukakan oleh 14 buah negara- Bahrain, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Mauritania, Maghribi, Oman, Wilayah Palestin, Arab Saudi, Sudan, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman.

“Hasilnya, ia membantu manusia menetap di kawasan tersebut meskipun keadaan sukar,” kata dokumen.

Gambar fail bertarikh 24 September menunjukkan seorang petani Palestin memetik kurma di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. Pokok kurma telah diiktiraf oleh UNESCO pada 11 Disember 2019. – AFP

Sehingga hari ini, hidangan kurma menghiasi meja rumah dan perniagaan di seluruh dunia Arab, di mana simbol pokok kurma telah menandakan kemakmuran dari segi sejarah.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB, pokok kurma mungkin merupakan pokok yang paling lama ditanam.

Ia ditanam seawal 4,000 SM dan digunakan untuk pembinaan kuil tuhan bulan berhampiran Ur di selatan Iraq, kawasan kuno Mesopotamia.

Untuk merai dan mempromosi warisan pokok kurma dan produk palma, beberapa negara calon mengadakan festival kurma tahunan, terutamanya Festival Kurma Liwa tahunan di UAE dan Festival Kurma di Al-Qassim di Arab Saudi.

Kedua-dua negara Teluk adalah antara pengeksport kurma terkenal di dunia, menurut Pusat Perdagangan Antarabangsa di Geneva. – AFP