Pokok mangga ganjil tarik perhatian

KUALA BELAIT, 2017 – Sepohon pokok mangga menjadi tarikan pengunjung ke rumah Ketua Kampung Pandan B, Haji Abdul Malik bin Haji Abu Bakar apabila mengeluarkan empat daun pelbagai jenis.

Menurut Haji Abdul Malik, beliau mula menyedari perkara itu apabila pokok itu sering mendapat perhatian pengunjung yang menegur ia agak pelik kerana mengeluarkan pelbagai jenis daun.

Pokok mangga itu mula ditanam selepas berpindah ke kediamannya itu pada tahun 1997, mulanya mengeluarkan buah mangga, namun semakin ia membesar, semakin banyak pokok yang lain yang menumpang pokok tersebut termasuklah pokok buah longan Brazil, pokok nibung dan sejenis lagi tumbuhan yang tidak dapat dikenal pastinya, katanya.

“Saya menyedarinya tahun lepas (2016), tetapi tidak begitu mengendahkannya, sehinggalah ramai yang berkunjung ke rumah saya menegurnya kerana melihat ianya agak ganjil, apabila satu pokok mengeluarkan empat jenis daun tumbuhan berbeza,” katanya.

Menurutnya, pokok itu mungkin bertambah ganjil apabila pokok mangga dan longan berbuah pada masa yang sama. Bagaimanapun beliau akan memotong daun-daun pokok yang berjuntaian tidak tersusun, supaya pokok itu lebih nampak rapi dan tidak bercadang untuk menebangnya kerana kedua-dua buah mangga dan longan kelihatan subur dan hampir menghasilkan buah.

“Begitu juga dengan pokok Nibung, umbutnya juga boleh dijadikan sayur, saya bersyukur dengan kejadian ini, walaupun mungkin adalah bawaan burung-burung, tetapi pada saya, ianya juga merupakan rezeki daripada Allah SWT,” ujarnya.