Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pokok Melaka miliki pelbagai khasiat

    MELAKA – Pokok Melaka yang dikenali juga sebagai India Gooseberry bukan sahaja elemen penting dalam lipatan sejarah negeri Hang Tuah ini, malah juga mempunyai pelbagai khasiat kesihatan dan kini mula dikomersialkan.

    Dipilih sebagai antara ikon negeri Melaka, pokok herba ini kaya dengan vitamin C dan mengandungi pelbagai khasiat antaranya bagi melegakan tekanan, menyuburkan rambut, penawar darah tinggi dan mencantikkan kulit.

    Pengamal herba dan juruterapi Raja Andak Raja Husin, 63, yang lebih selesa dipanggil Pakndak berkata beliau menjalankan penelitian dan kajian terhadap khasiat pokok buah Melaka bermula sekitar 2019.

    Malah, pemilik Pakndak Spa itu berkata buah daripada pokok berkenaan menjadi bahan utama dalam pelbagai produk dihasilkannya termasuk minyak urut dan balm lutut.

    “Saya mula buka perniagaan ini pada 2003 selepas bersara daripada Telekom Malaysia.

    Juruterapi Raja Andak Raja Husin (dua, kiri), bergambar bersama pekerjanya serta produk minyak urut dan balm lutut yang dihasilkan daripada pokok dan buah melaka ketika tinjauan di reruai Pakndak Spa sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh. – Bernama
    Buah Melaka yang rasanya sedikit kelat dan manis lazimnya dimakan begitu sahaja atau dibuat sebagai menu masakan antaranya asam pedas buah Melaka, sambal ikan bilis buah Melaka dan kuih agar-agar buah Melaka. – Bernama

    Saya kemudiannya mendapat bimbingan dan teknik mengurut daripada pelbagai agensi termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Majlis Amanah Rakyat,” katanya kepada Bernama.

    Beliau ditemui di reruai Pakndak Spa yang menjadi antara tumpuan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Melaka, di sini, bagi pengunjung mendapatkan urutan kaki dan badan selepas seharian letih berjalan mengunjungi tapak-tapak pameran.

    Pakndak berkata buah pokok ini yang rasanya sedikit kelat dan manis lazimnya dimakan begitu sahaja atau dibuat sebagai menu masakan antaranya asam pedas buah Melaka, sambal ikan bilis buah Melaka dan kuih agar-agar buah Melaka.

    Beliau berkata meskipun pokok Melaka ini terdapat di negeri-negeri lain, pokok itu tumbuh lebih subur di Melaka antaranya di perkampungan Hang Tuah, Dataran Sejarah Ayer Keroh, Kompleks Warisan Merdeka Jalan Kota dan kawasan di sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

    “Pokok ini juga difahamkan mendapat gelarannya kerana mempunyai sejarah bernilai semasa pembukaan kesultanan Melaka dan hari ini usaha kerajaan Melaka menanam pokok ini di sepanjang sungai amat dipuji dalam usaha mempromosikan pokok ini sebagai satu daripada ikon negeri Melaka.

    “Di samping itu, kita juga mahu anak-anak muda kenal pokok ini dan mungkin boleh buat kajian lebih mendalam tentang khasiat-khasiatnya pada masa akan datang,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...