Pokok tumbang halang jalan

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Sepohon pokok Belunu berukuran 25 meter panjang dan 60cm garis pusat (diameter) telah menghalang pergerakan lalu lintas apabila tumbang ke jalan raya di Jalan Mulaut Tanjong Nangka, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini, empat orang anggota bomba yang diketuai oleh ASO Saini bin Gapor dari Balai Bomba Jerudong telah dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 7:25 pagi.

Anggota bomba segera bertindak memotong pokok tersebut menggunakan dua gergaji rantai.

Sehubungan dengan ini, JBP dalam kenyataannya menyarankan orang ramai untuk mengelakkan menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan amalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok tersebut.

Pokok merupakan elemen yang penting bagi manusia dan haiwan akan tetapi ia juga boleh mendatangkan kemudaratan dan risiko kepada sekeliling seperti pokok tumbang boleh menimpa rumah semasa cuaca tidak menentu serta pokok-pokok yang ditanam mestilah sentiasa dijaga dan diawasi serta dipotong sebelum keadaan tidak terkawal.

Seorang anggota bomba memotong pokok besar yang tumbang menggunakan gergaji rantai. – Gambar serahan JBP