Pokok tumbang halang laluan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Kejadian tanah susur telah menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menutup sebahagian jalan raya di Kampung Belais, Temburong pada 22 Julai lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di sini, lima orang anggota dari Balai Bomba Rataie yang diketuai oleh ABKS 532 Mohd Salleh bin OKM Haji Jair telah dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 8:43 malam.

Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat mendapati sebatang pokok tumbang yang terkena kabel elektrik telah menutup sebahagian jalan raya utama.

Kenyataan menyatakan bahawa anggota bomba bertindak dengan memotong pokok tersebut menggunakan dua gergaji rantai (chainsaw).

JBP dalam kenyataan itu, menyarankan supaya orang ramai supaya lebih berwaspada dan tahu akan keselamatan mengenai pokok tumbang semasa keadaan cuaca tidak menentu, elak kanmenanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan amalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok tersebut.

Pokok merupakan elemen yang penting bagi manusia dan haiwan, akan tetapi ia boleh juga mendatangkan kemudaratan dan risiko kepada kawasan sekeliling seperti pokok tumbang berkemungkinan menghempap rumah semasa cuaca tidak menentu, pokok-pokok yang ditanam mestilah sentiasa dijaga dan diawasi serta dipotong sebelum keadaan tidak terkawal serta untuk tidak meletakkan kereta mereka berdekatan dengan pokok-pokok besar ditakuti perkara tidak diingini berlaku.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai harus menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat berusaha memotong pokok menggunakan gergaji rantai dalam kejadian di Kampung Belais, Temburong pada 22 Julai lalu. – Gambar serahan JBP