Pokok tumbang halang laluan jalan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Sepohon pokok berukuran kira-kira 20 meter panjang telah tumbang ke atas sebatang jalan raya dan menghalang laluan di Kampung Kuala Lurah, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, lapan orang anggota dari Balai Bomba Pengkalan Batu yang diketuai oleh DSO Zulkefle bin Haji Ali, dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 5:58 petang.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa pokok Belunu yang mempunyai garis pusat 60 sentimeter itu telah menghalang keseluruhan jalan raya berkenaan.

Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan tiga gergaji dengan operasi selesai dalam masa kira-kira 3 jam.

Kenyataan lagi bahawa tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku semasa kejadian.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk mengelak daripada menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan mengamalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok berkenaan, pokok merupakan elemen yang penting bagi manusia dan haiwan tetapi ia boleh mendatangkan kemudaratan dan risiko kepada sekeliling seperti kejadian pokok tumbang boleh menghempap rumah semasa cuaca tidak menentu.

Pokok yang ditanam mestilah sentiasa dijaga, diawasi dan dipotong serta tidak meletakkan kereta mereka berdekatan dengan pokok-pokok besar kerana ditakuti berlaku perkara yang tidak diingini.

Kejadian pokok tumbang yang menghalang jalan di Kampung Kuala Lurah, kelmarin. – Gambar serahan JBP