Pokok tumbang, sekat jalan raya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Sepohon pokok berukuran kira-kira 10 meter panjang tumbang dan menutup keseluruhan jalan raya di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Bolkiah ‘A’, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, empat orang anggota Bomba dan Penyelamat yang diketuai oleh ABK 579 Yusof bin Haji Ahmad dari Balai Bomba Sungai Kebun dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 9:44 pagi.

Menurut kenyataan itu, apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sepohon pokok bintagur yang mempunyai garis pusat berukuran kira-kira 30 sentimeter tumbang dan menyekat keseluruhan jalan raya.

Anggota bomba segera bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan gergaji rantai dan dalam kejadian berkenaan, tidak ada sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.

JBP menyarankan supaya menggelakkan menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan amalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok berkenaan, pokok yang ditanam mesti sentiasa dijaga, diawasi dan dipotong sebelum keadaan tidak terkawal serta tidak meletakkan kereta mereka berdekatan dengan pokok-pokok besar ditakuti perkara tidak diingini berlaku.

Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden, mereka boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan untuk memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak untuk memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menyekat keseluruhan jalan raya di Kampung Bolkiah ‘A’. – Gambar serahan JBP