Poland anjur pilihan raya Ahad ini

WARSAW, 26 JUN – Masa depan kerajaan sayap kanan Poland berada dalam keadaan terkatung-katung apabila penduduk Poland bersedia untuk mengundi pada Ahad dalam pilihan raya sengit yang terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik koronavirus.

Sebelum pengundian, Presiden Andrzej Duda melawat Washington pada minggu ini di mana beliau menerima kata-kata rangsangan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang berkata beliau melakukan ‘tugas yang hebat.’

Trump melihat Duda, disokong oleh parti Undang-Undang dan Keadilan (PiS), sebagai sekutu Eropah penting dan lawatan Duda ke Rumah Putih adalah yang pertama oleh pemimpin asing sejak pandemik bermula.

Tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan Duda akan mendahului dengan mudah pada Ahad tetapi kekurangan 50 peratus majoriti yang diperlukan untuk menang besar.

Beliau seterusnya akan menghadapi pusingan kedua pada 12 Julai berdepan Rafal Trzaskowski, datuk bandar Warsaw, yang sukar diramalkan pemenangnya.

Duda berjanji akan mempertahankan pelbagai faedah sosial yang dicadangkan oleh parti pemerintah, termasuk elaun kanak-kanak dan bayaran pencen tambahan – faktor utama di sebalik kemenangan penggal kedua pemimpin itu dalam pilihan raya parlimen pada Oktober.

Pada asalnya dijadualkan pada Mei, pilihan raya ditunda disebabkan pandemik koronavirus, yang melihat lebih 33,000 jangkitan dan lebih 1,400 kematian di Poland, sebuah negara dengan 38 juta penduduk. – AFP