Poland seru sidang kemuncak mengenai Belarus

WARSAW, 10 OGOS – Poland hari ini menyeru Kesatuan Eropah (EU) mengadakan sidang kemuncak bagi menangani situasi di Belarus selepas demonstrasi di Minsk semalam mengenai pilihan raya presiden yang dipertikaikan.

“Pihak berkuasa telah menggunakan kekerasan terhadap penduduk, yang menuntut perubahan di negara itu. Kita mesti menyokong rakyat Belarus dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebebasan,” kata Perdana Menteri Mateusz Morawiecki dalam satu kenyataan.

Morawiecki mengatakan beliau telah menulis surat kepada presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis EU, Charles Michel bagi mengadakan sidang kemuncak.

Seorang pegawai Eropah mengatakan bahawa rundingan sedang dijalankan menjelang pernyataan yang mungkin berlaku mengenai perkembangan yang sangat serius di Belarus tetapi memberi amaran bahawa sangat sukar untuk mengesahkan laporan dari negara itu kerana sekatan rasmi dan internet yang perlahan.

Michel menulis di Twitter bahawa ‘keganasan terhadap penunjuk perasaan bukanlah jawapannya’.

“Kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, hak asasi manusia mesti ditegakkan,” katanya.

Belarus bersempadan dengan Rusia di timur, Ukraine di selatan dan negara anggota EU, Poland, Lithuania dan Latvia di utara dan barat.

Dalam satu kenyataan bersama, Presiden Poland Andrzej Duda dan Presiden Lithuania Gitanas Nauseda telah mendesak Belarus untuk mengiktiraf dan menegakkan standard demokrasi asas termasuk kebebasan bersuara. – AFP