Poland tutup lombong arang batu

WARSAW, 8 JUN – Poland berkata hari ini ia akan menggantung kerja-kerja di 12 lombong selama tiga minggu selepas pertambahan dalam kes koronavirus baharu dalam beberapa hari ini di pusat penularan di lembangan arang batu selatan Silesia.

Kebanyakan jangkitan baharu di Poland, yang bergantung pada arang batu untuk 80 peratus tenaganya, merupakan pekerja dari 12 buah lombong arang batu dan ahli keluarga mereka, menurut kementerian kesihatan.

“Mulai esok, kami akan menggantung kerja-kerja di dua lombong dalam kumpulan perlombongan JSW dan di 10 lombong konglomerat perlombongan PGG selama tiga minggu,” kata timbalan perdana menteri Jacek Sasin hari ini, merujuk kepada dua syarikat arang batu yang dikendali oleh kerajaan, yang terbesar di Kesatuan Eropah.

Kumpulan perlombongan JSW ialah pengeluar terbesar arang batu ‘coking’ yang digunakan dalam pengeluaran keluli dalam blok negara, sementra konglomerat PGG ialah pengeluar terbesar arang batu keras.

Kedua-dua syarikat beroperasi di selatan rantau Silesia, pusat penularan virus di Poland sekarang.

Penutupan tidak dijangka menjejas pengeluaran tenaga di Poland, yang mempunyai stok arang batu domestik dan import yang mencukupi.

Negara yang mempunyai 38 juta penduduk itu setakat ini melaporkan 26,780 kes COVID-19, termasuk 1,157 kematian dan 12,998 yang sudah sembuh. – AFP