Poland wajibkan semula pemakaian penutup mulut, hidung

WARSAW, 6 OGOS – Poland akan mewajibkan kembali pemakaian penutup mulut dan hidung di tempat awam di sembilan daerah, kata menteri kesihatan hari ini, ketika jumlah jangkitan COVID-19 mencapai rekod baharu.

Kerajaan mengenakan sekatan terhadap aktiviti sukan dan acara kebudayaan di kawasan-kawasan tersebut, terutama di selatan dan timur yang akan berkuat kuasa mulai hari Sabtu.

Pemakaian penutup mulut dan hidung diwajibkan di Poland semasa berada di tempat tertutup seperti kedai dan pengangkutan awam, tetapi tidak ketika berada di luar rumah selagi melakukan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1.5 meter.

Peningkatan jangkitan terbesar berlaku di Silesia, sebuah wilayah perindustrian lombong arang batu di selatan Poland di mana sangat teruk terjejas kerana kesukaran dalam melaksanakan penjarakan sosial.

“Kita perlu bangkit,” kata Menteri Kesihatan, Lukasz Szumowski kepada wartawan, sambil menambah bahawa Poland secara keseluruhan harus berwaspada kerana lonjakan jangkitan.

Kementerian kesihatan melaporkan 726 kes baharu semalam, jumlah tertinggi dicatatkan setakat ini.

Dengan 18 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,774 orang. – AFP