Polaris: Kapal pemecah ais pertama dunia guna LNG

DI ATAS PEMECAH AIS POLARIS, Finland – Besi gergasi terus mara, menghancurkan ais ketika ia mengharungi hujung paling utara Baltik yang dianggap salah sebuah laut yang paling tercemar di dunia. Tetapi tidak seperti pemecah ais lain yang mengeluarkan diesel, kapal paling moden itu meluahkan bahan api yang lebih bersih.

Dalam kegelapan membeku pada pagi bulan Februari, Polaris yang sangat besar dan memiliki berat 10,000 tan lebih dari menara Eiffel, meredah ais setengah meter tebal dengan mudahnya.

“Sebelum ini saya memandu kapal terbang tetapi saya tidak terlepas melihatnya. Di dalam sini seperti memandu kapal angkasa lepas!” ujar pegawai kedua Valtteri Salokannel di anjungan kapal itu, yang dikelilingi imej satelit dan barisan lampu-lampu berwarna.

Anjungan itu bergoncang lembut tetapi cermin tebal tingkap mengurangkan kebisingan deruan angin di dek dan dentangan ais yang amat nyaring yang menghempas badan keluli kapal yang kukuh.

Kapal bernilai 128 juta euro itu ditugaskan untuk mengekalkan laluan perkapalan yang dibukakan sehingga enam bulan setahun, yang membolehkan kapal-kapal kargo yang membawa keluli, produk kertas dan kimia keluar masuk pelabuhan yang digunakan oleh utara Finland dan negara jiran, Sweden.

Laluan melalui ais lautan Baltik yang membantu kapal-kapal kargo masuk dan keluar dari pelabuhan di Tornio, utara Finland. – AFP

Emping salji terlihat berada di lampu hadapan kapal pemecah ais, Polaris, semasa ribut salji melanda perairan Tornio. – AFP
(Dari kiri ke kanan) Pegawai Kedua, Valtteri Salokannel, pemilik kapal, Pasi Jarvelin dan ketua pegawai, Simo Haaslahti terlihat berada di dalam ruangan pengemudian Polaris di luar lautan Tornio. – AFP
Polaris melakukan operasi ‘bantuan’ melalui ais Baltik untuk membantu membawa keluar kapal kargo dari pelabuhan di perairan Tornio. – AFP
Pegawai pertama, Mikko Laitinen sedang berkomunikasi menggunakan radio di dalam ruangan dek Polaris semasa berada di luar perairan Tornio. – AFP
Bilik pengepaman, yang berada di aras paling bawah di dalam kapal seberat 10,000 tan itu. – AFP
Valtteri Salokannel membuat catatan kemasukan di dalam buku catatan kapal Polaris semasa berada di luar perairan Tornio. – AFP
Terminal gas cecair asli (LNG) Manga yang baru dibina di Tornio, Utara Finland. – AFP
Kapal pemecah ais, Polaris, pertama di dunia yang menggunakan gas cecair asli yang kurang mencemarkan berbanding daripada bahan bakar diesel biasa, terlihat tiba di dok di Tornio. – AFP

Kapten kapal, Pasi Jarvelin, berbangga Polaris ini adalah pemecah ais yang paling mesra alam di dunia.

“Kami tidak mengeluarkan apa-apa pun ke dalam laut, seperti air mandi, air kelabu, kami membawanya balik ke darat dan kipasnya menggunakan minyak yang boleh diuraikan,” dia memberitahu AFP.

Tapi yang paling penting, ia adalah pemecah ais pertama di dunia yang menggunakan gas asli cecair (LNG) alternatif yang rendah karbon, kepada bahan api diesel yang digunakan pada kebanyakan kapal besar.

Jarvelin berkata “LNG adalah bahan yang diketahui paling bersih yang boleh kami gunakan.”

Bukti kelayakan mesra alam Polaris akan semakin penting dalam tempoh jangka hayat 50 tahun kapal ini memandangkan ais putih asli rantau ini menyembunyikan air yang telah dipilih oleh Suruhanjaya Eropah dan Tabung Pelindungan Hidupan Liar Sedunia (WWF) antara badan antarabangsa, tatkala memerlukan tindakan segera untuk mengurangkan paras pencemaran yang tinggi.

Sangat sedikit air luar mengalir ke dalam atau keluar dari Laut Baltik yang hampir sepenuhnya dipagari sembilan buah negara termasuklah Rusia, Jerman dan kebanyakan negara-negara Nordik.

Ini bermakna kimia-kimia dari pertanian dan industri lain masih terperangkap dalam air dalam kepekatan yang semakin kuat, menurut badan-badan seperti Suruhanjaya Perlindungan Persekitaran Marin Baltik (HELCOM).

Menurut Agensi Persekitaran Eropah bahawa suhu dalam Baltik telah meningkat lebih lima kali lebih pantas dari purata sejagat dalam tempoh 25 tahun lalu.

Sehinggga kini, Polaris menggunakan minyak diesel rendah sulfur atau diisi dengan gas asli yang dibawa masuk oleh lori.

Tetapi bulan ini, buat pertama kalinya, kapal sepanjang 110 meter ini diisi dengan gas dari terminal LNG Manga yang baru dibina, tempat penyimpanan yang terletak di hujung tanda tandus, pelabuhan di Tornio, utara Finland.

Terminal Manga dibuka 15 bulan lalu untuk membekalkan gas asli kepada ki-lang keluli setempat dan industri lain yang berhampiran.

Pengisian semula minyak kapal ini, yang mengambil masa lapan jam pada perjala-nan pertamanya, ketika para jurutera sibuk memantau skrin komputer dan kadang kalanya melaraskan injap yang ditutupi salji, mengisi dua tangki minyak besar 400 meter padu kapal ini sedikit dalam satu masa untuk memastikan tekanan dan pengagihan yang betul.

“Itu adalah hari yang bermakna,” Jarvelin memberitahu AFP selepas kapal itu memulakan pelayaran ke laut lagi.

“Kini kami akan sentiasa mempunyai bekalan LNG di sini di tempat kami, Tornio.”

Meskipun gas cecair asli adalah bahan api fosil dan dengan itu pada dasarnya dianggap tidak boleh dibaharui, ia secara meluas dilihat sebagai yang lebih mesra alam dari arang batu atau minyak kerana ia terbakar lebih efisien dan tidak mengeluarkan banyak karbon.

Menggunakan LNG juga dijangka terbukti lebih murah dari diesel berbanding selama hayat kapal itu.

“Polaris adalah satu-satunya pemecah ais di dunia yang menggunakan LNG,” profesor teknologi maritim Pentti Kujala, dari Universiti Aalto, Finland, memberitahu AFP.

“Kelainan besar kuasa yang diperlukan bagi memecahkan ais kadang kalanya boleh mengundang cabaran bagi enjin-enjin LNG,” katanya lagi.

Dalam keadaan yang amat luar biasa, Polaris boleh mengubah enjinnya kepada diesel.

Dibina dalam tahun 2016 oleh Arctech Helsinki Shipyard, ia juga dilengkapi dengan pam, penapis dan joran yang boleh kembung sekiranya berlaku tumpahan minyak dalam keadaan berais, yang lebih sukar untuk dibersihkan berbanding di perairan terbuka.

Kebanyakan risiko tumpahan minyak adalah dari selatan Baltik, dikenali sebagai Teluk Finland, yang mempunyai beberapa lalu lintas marin paling sibuk di Eropah dengan tahap dijangka meningkat secara dramatik dalam tempoh beberapa dekad mendatang.

Finland adalah satu-satunya negara di dunia yang mana semua pelabuhannya boleh dan kerap beku di musim sejuk, yang bermakna pemecah ais amat diperlukan untuk mengekalkan aliran perdagangan.

Kapakaran negara Nordic bermakna syarikat-syarikat Finland telah membina dua pertiga dari 150 pemecah ais besar di dunia.

Tidak seperti kebanyakan pemecah ais lain, Polaris memiliki sauna untuk membantu mengekalkan suhu panas bagi kira-kira 16 anggota kru ketika tempoh 20 hari mereka di laut.

Dengan suhu luar hampir –20 darjah selsius, ruang dalam kapal itu cukup menebat.

“Sebenarnya para pegawai tidak perlu keluar begitu kerap ke luar,” akui Saloannel. “Tetapi kadang-kadang saya keluar juga, hanya untuk suka-suka, untuk menghirup udara dan melihat apa yang berlaku.” – AFP