Polio dikesan di Papua New Guinea

SYDNEY, 26 Jun – Satu wabak polio telah disahkan di Papua New Guinea, kata Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan, tatkala virus itu dikesan melalui seorang kanak-kanak selepas negara Pasifik itu diisytiharkan bebas daripada penyakit tersebut 18 tahun lalu.

WHO berkata terdapat satu kes yang telah disahkan, seorang budak lelaki berusia enam tahun dengan kelemahan bahagian bawah badan dari wilayah Morobe, di mana penyakit itu dikesan pada akhir bulan April dan simptom kelumpuhan yang dikaitkan dengan virus polio itu disahkan pada Mei lalu.

“Kami amat bimbang mengenai kes polio ini di Papua New Guinea dan memandangkan virus sedang merebak,” kata Setiausaha Kesihatan Papua, Pascoe Kase dalam satu kenyataan semalam. “Keutamaan kami sekarang adalah bertindak balas dan mencegah lebih ramai kanak-kanak daripada dijangkiti.”

Langkah-langkah yang diambil untuk menghalang penyebaran penyakit yang amat mudah tersebar itu termasuk menjalankan kempen pelalian besar-besaran dan memperkukuh sistem pemantauan yang membantu mengesannya awal.

Papua New Guinea belum mencatat kes penyakit berkenaan sejak 1996 dan disahkan bebas polio pada tahun 2000 bersama seluruh rantau Pasifik Barat WHO. Terdapat liputan vaksin polio yang rendah di wilayah Morobe, di pantai utara Papua, dengan hanya 61 peratus daripada kanak-kanak menerima tiga dos yang dicadangkan, kata WHO.

WHO juga menambah bahawa kebersihan dan sanitasi yang tidak mencukupi juga merupakan isu di kawasan itu. Ia berkata pengasingan rantau dan aktiviti pelalian bermakna risiko virus merebak ke negara lain adalah rendah. – AFP