KANDAHAR, Afghanistan, 23 Julai – Polis Afghanistan hari ini melancarkan satu pencarian kepada kira-kira 30 penduduk yang masih hilang dua hari selepas penculikan besar-besaran yang disalahkan ke atas militan Taliban di selatan wilayah Kandahar.
Seramai 70 orang telah diculik pada Jumaat dari kampung mereka di sepanjang jalan utama di selatan dan tujuh daripada mereka ditemui maut pada hari sebelumnya di sepanjang lebuh raya dari bandar Kandahar ke Tarinkot di wilayah Uruzgan.
Kira-kira 30 orang telah dibebaskan sementara 30 lagi masih hilang, kata jurucakap polis Kandahar, Zia Durrani memberitahu AFP.

Ia masih tidak jelas kenapa penduduk berkenaan telah diculik. Namun beberapa pegawai berkata mereka mensyaki Taliban telah menculik atau membunuh mereka kerana disyaki bekerjasama dengan kerajaan yang disokong Barat yang mana militan berusaha untuk menggulingkannya.
Para pemberontak menunjukkan kehadiran besar di Uruzgan, sebuah kawasan yang ditumbuhi pokok popi. Hari ini mereka menafikan terlibat, dengan mengesahkan mereka telah menyerang pusat pemeriksaan polis di kawasan itu.
“Mujahideen kami membunuh beberapa polis tempatan dan militia prokerajaan di sana, juga menangkap 17 suspek yang kemudian dibebaskan selepas disiasat. Kami tidak membunuh atau menculik mana-mana orang awam,” kata Taliban dalam satu kenyataan. – AFP