Polis Angola ‘tidak sengaja’ tembak penduduk

LUANDA, 12 MEI – Seorang warga Angola telah ditembak mati oleh pegawai polis yang melaksanakan langkah penjarakan sosial terhadap koronavirus di ibu kota Luanda, kata kerajaan dan seorang saksi.

Antonio Domingos Vulola, 21, telah ditembak pada Sabtu lalu selepas polis bertempur dengan sekumpulan orang yang ditangkap kerana melanggar perintah berkurung di seluruh negara dan larangan perjumpaan sosial di kawasan Huambo yang miskin di Luanda.

“Penduduk menunjukkan tentangan dan bertindak menyerang pasukan undang-undang, melontarkan tongkat, batu dan botol,” kata kenyataan Kementerian Dalam Negeri kelmarin.

“Untuk mempertahankan integriti fizikal mereka sendiri, petugas penguat kuasa melepaskan tembakan yang secara tidak sengaja mengenai seorang lelaki tersebut.”

Abang kepada mangsa memberitahu AFP bahawa Vulola telah ditembak di bahagian kepala ketika melarikan diri daripada pergaduhan.

“Pihak polis tiba dan mula memukul (walaupun) mereka yang memakai penutup mulut dan hidung,” Joao Antonio Vulola berkata.

“Adik saya tidak memakai sebarang penutup mulut dan hidung jadi dia mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat itu dan pada masa itu polis melepaskan tiga das tembakan: satu di udara dan dua di bahagian kepada adik saya, yang mati di tempat kejadian.”

Menteri Dalam Negeri telah membuka kertas siasatan terhadap insiden tersebut.

Sehingga hari ini Angola merekodkan hanya 43 kes koronavirus, termasuk dua kematian.

Presiden Joao Lourenco, mengisytiharkan perintah kecemasan pada bulan Mac, melarang perkumpulan di tempat awam dan menyekat pergerakan untuk mengurangkan penyebaran COVID-19.

Kumpulan hak asasi manusia di seluruh benua mengecam insiden keganasan yang meluas oleh pegawai keselamatan yang menguatkuasakan sekatan antikoronavirus. – AFP