Polis bantu wanita bersalin di dataran Todak, KK

KOTA KINABALU, 16 APRIL – Seorang anggota polis wanita menjadi bidan terjun malam tadi apabila membantu seorang wanita melahirkan anak di Dataran Todak di sini.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10:30 malam selepas Pahmah Nastih, 38, dari Kampung Kasuapan, Pulau Gaya tidak sempat tiba ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas apabila terasa sudah mahu bersalin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu (KK), ACP Habibi Majinji berkata ketika kejadian itu, dua anggota polis termasuk seorang anggota polis wanita sedang membuat pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu dan Dataran Todak bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Melihat situasi itu, anggota polis wanita itu kemudian segera membantu dengan ditemani oleh kakak wanita terbabit sehingga wanita itu selamat melahirkan anak damitnya.

“Wanita bersama anaknya kemudian dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke HWKKS bagi menjalani rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. Habibi berkata walaupun dalam keadaan PKP, anggota polis sentiasa bertanggungjawab membantu orang ramai dalam keadaan kesusahan lebih-lebih wanita terbabit hendak bersalin dan amat memerlukan pertolongan. – Bernama