Polis berhak semak telefon orang awam

KUALA LUMPUR, 18 NOV – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang bentuk komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan orang lain dan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata perkara itu dibenarkan untuk menjaga ketenteraman awam berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. “Bagaimanapun orang ramai perlu tahu hak mereka semasa semakan rambang dilakukan termasuk boleh meminta identiti pegawai polis yang melakukan pemeriksaan sebagai rekod jika ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sesi jawab lisan Persidangan Dewan Rakyat hari ini. – Bernama