DAR ES SALAAM, 5 Mac – Polis di Tanzania telah menahan 65 orang ‘dukun’ atau penyembuh tradisional, berkaitan kes pembunuhan ritual kira-kira 10 orang kanak-kanak.
Mangsa dibunuh dalam bulan Januari dan banyak bahagian badan telah dibuang.
Terdapat kepercayaan dalam kalangan sesetengah penduduk di Tanzania serta beberapa negara jiran, bahawa penggunaan bahagian badan manusia secara ritual boleh membawa kekayaan dan tuah.
Ketua Polis Tanzania, Simon Sirro telah mengarahkan agar setiap penyembuh tradisional mendapatkan lesen.
“Kami juga meminta institusi lain seperti pemimpin keagamaan dan ahli politik agar membantu kami,” katanya.
Sepuluh orang kanak-kanak telah dibunuh di wilayah barat daya Njombe manakala sejumlah lagi yang tidak diketahui turut dibunuh di utara wilayah Simuyu.
Seorang daripada mangsa, Goodluck Mfugale, hanya berusia lima tahun ketika dia dibunuh.
Terdapat kepercayaan bahawa bahagian badan golongan albino amat berkesan dalam ritual sedemikian, yang membawa kepada berlakunya banyak pembunuhan.
Bagaimanapun, tidak jelas jika mana-mana daripada 10 orang kanak-kanak yang menjadi mangsa memiliki albinisme.
Albinisme secara khusus tersebar luas di Tanzania dengan nisbah satu dalam 1,400 orang, menurut laporan Kesihatan Awam BMC 2006. Ini berbanding dengan nisbah satu dalam 20,000 orang di negara-negara Barat. Para aktivis di benua itu berkata kemiskinan menyumbang kepada kecurigaan terhadap golongan albino dan kepercayaan bahawa bahagian badan mereka boleh dijual untuk mendapatkan sejumlah besar wang. – Bernama

































