Polis bunuh 11 penjenayah menjelang Sukan Asia

JAKARTA, Indonesia, 17 Julai – Polis Indonesia telah membunuh 11 orang penjenayah dan menembak lebih ramai pesalah dalam kempen besar-besaran untuk membebaskan ibu kota, Jakarta, dari sebarang kejadian jenayah sebelum Sukan Asia bulan depan.

Jurucakap Polis Jakarta Prabowo Argo Yuwono berkata hampir 2,000 orang telah ditangkap sejak operasi itu bermula pada 2 Julai lalu. Dia berkata 52 orang ditembak dan 11 daripadanya meninggal dunia.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada kempen dua bulan bagi memerangi jenayah curi, samseng dan penjenayah jalanan lainnya untuk meningkatkan keselamatan menjelang Sukan Asia, yang berlangsung di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 3 September.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah tegas termasuk menembak suspek,” kata Yuwono.

Pemerhati Hak Asasi Manusia menyelar penembakan itu dan berkata ia tidak akan menyelesaikan masalah keselamatan Jakarta.

Polis Indonesia berkata langkah itu adalah sebahagian daripada operasi dua bulan dalam menangani kejadian jenayah bagi meningkatkan keselamatan di Jakarta menjelang Sukan Asia. – AFP

“Sukan Asia tidak boleh dijadikan alasan untuk menggunakan kekerasan yang berlebihan,” kata kumpulan penyelidik Indonesia Andreas Harsono.

“Lebih baik kerajaan dan polis Jakarta bekerjasama rapat untuk meningkatkan infrastruktur pengangkutan dan persimpangan lalu lintas dan melakukan lebih banyak kerja-kerja polis,” katanya.

Seramai 9,000 atlet dan beberapa ribu wartawan dan pegawai dijangka akan menghadiri perlawanan tersebut, yang akan berlangsung tiga bulan selepas pengeboman bunuh diri di bandar terbesar kedua di Indonesia, Surabaya, yang mengorbankan 26 orang, termasuk 13 penyerang. – AP