Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Polis cari pemandu langgar dan lari di Seria

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang mencari pemandu kenderaan langgar dan lari dua orang pejalan kaki di Pekan Seria, Daerah Belait hari ini.

    Menurut kenyataan dari PPDB, kejadian langgar lari itu telah dilaporkan kepada pihak polis sekitar pukul 1:59 petang di kawasan laluan pejalan kaki, Pekan Seria, petang tadi.

    Sejurus maklumat diterima, keanggotaan Balai Polis Seria, PPDB segera menjalankan siasatan dan mendapati insiden itu dipercayai melibatkan kemalangan sebuah kenderaan dan pejalan kaki.

    Siasatan turut mendapati, suspek dipercayai telah melanggar dua orang pejalan kaki yang dipercayai ibu dan anak sedang melintas laluan lintasan pejalan kaki kemudian melarikan diri.

    Mesej tular di WhatsApp menunjukkan kedua-duanya cedera dan dibantu oleh orang ramai di tempat kejadian. Keadaan mereka bagaimanapun dilaporkan stabil.

    Berikutan kejadian itu, siasatan secara terperinci telah dijalankan dan PPDB memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan iaitu saksi mata supaya dapat tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian kecemasan 993 bagi mengongsi sebarang maklumat mengenai kenderaan suspek yang masih dalam pencarian pihak polis.

    PPDB menyatakan bahawa dalam insiden sedemikian, suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 31 Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 iaitu kegagalan pemandu kenderaan memberikan bantuan kepada orang yang tercedera dan jika sabit tertuduh akan dihukum penjara setahun dan denda $8,000, Seksyen 33(6) Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 iaitu gagal untuk berhenti dan memberikan bantuan serta Seksyen 33 (7) Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 iaitu gagal untuk berhenti dan memberikan bantuan hasil daripada kemalangan serta mengakibatkan kejadian parah ataupun kematian. Jika sabit kesalahan tertuduh akan dihukum penjara selama 12 bulan berserta denda sebanyak $3,000.

    Gambar diperolehi dari WhatsApp menunjukkan orang ramai membantu pejalan kaki dilanggar pemandu yang kemudiannya melarikan diri.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL - Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran...