Polis cari remaja lakukan aksi berbahaya

IPOH 1 Jan – Polis meminta sekumpulan remaja yang melakukan aksi berbahaya dengan memanjat papan tanda perkataan ‘IPOH’ di Jalan Kuala Kangsar di sini untuk tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya telah menerima laporan polis yang dibuat oleh pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada awal pagi ini.

Portal berita Utusan online memetik beliau sebagai berkata, siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan yang boleh membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

“Kita akan mulakan siasatan berhubung isu tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau individu itu sendiri diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Gambar yang menjadi viral dalam media sosial menunjukkan sekumpulan remaja bergambar dengan menggunakan dron setelah berjaya memanjat papan tanda tulisan ‘IPOH’ di Jalan Kuala Kangsar.
Gambar yang menjadi viral dalam media sosial menunjukkan sekumpulan remaja bergambar dengan menggunakan dron setelah berjaya memanjat papan tanda tulisan ‘IPOH’ di Jalan Kuala Kangsar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perbuatan sekumpulan enam remaja yang bergambar serta mengambil video menggunakan dron, setelah berjaya memanjat papan tanda tersebut.

Salah seorang remaja perempuan yang terbabit bukan sahaja duduk dan baring pada buaian gantung yang dipasang oleh rakannya, malah turut memberi kredit pada laman Instagram MBI dengan mendakwa ‘MBI telah memberi kebenaran untuk memanjat mercu tanda Ipoh’.

Video dan gambar tersebut turut dikongsi di akaun Instagram peribadinya bermula empat hari lalu sebelum menular di laman sosial.