Polis dibunuh cetus kemarahan di Perancis

AVIGNON, PERANCIS, 6 MEI – Ahli politik dan kesatuan polis Perancis menyuarakan kemarahan mereka hari ini atas pembunuhan seorang pegawai di sebuah lubuk pengedar dadah yang terkenal di bandar selatan Avignon, yang menimbulkan perdebatan mengenai rekod Presiden Emmanuel Macron dalam memerangi penjenayahan.

Pegawai dan bapa kepada dua orang anak lelaki berusia 36 tahun itu ditembak dan dibunuh semalam ketika menyiasat perhimpunan di tempat itu, kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin.

Penembak masih bebas. Pembunuhan itu menimbulkan kejutan besar di Avignon, yang terkenal sebagai tempat paus Katolik pada abad ke-14 dan kerana menjadi tuan rumah salah satu festival teater terbesar di dunia setiap bulan Julai.

Mengunjungi tempat kejadian kelmarin, Darmanin menyanjungi pegawai yang terkorban itu, yang nama pertamanya diberi oleh akhbar La Provence sebagai Eric, dengan gelaran ‘mati sebagai pahlawan’ dalam ‘perang’ terhadap pengedar dadah.

Serangan tersebut berlaku di pusat Avignon, di jalan berbatu.

Sepasukan pegawai berpakaian biasa yang dihantar untuk menyiasat kes dadah yang disyaki melakukan pemeriksaan identiti ke atas sekumpulan orang ketika salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan, kata sumber. – AFP