Polis dikerah kuatkuasakan kuarantin

MANILA, 15 JULAI – Polis Filipina akan dikerahkan bagi memastikan orang ramai yang diuji positif bagi koronavirus dan tidak boleh menjalani pengasingan kendiri di rumah, dibawa ke pusat kuarantin, mencetuskan amaran hari ini bagi kemungkinan pencabulan hak asasi.

Langkah itu dibuat ketika pihak berkuasa meningkatkan usaha bagi memperlahankan penularan pantas virus itu dengan menambah ujian saringan, melaksanakan semula perintah berkurung dan membina berpuluh-puluh pusat kuarantin bagi mengasingkan pesakit dengan simptom ringan.

Bagi mengekang jangkitan komuniti, polis mengiringi petugas kesihatan ke rumah-rumah orang yang diuji positif dan membawa mereka ke kemudahan kerajaan jika rumah mereka dianggap tidak sesuai untuk pengasingan kendiri atau mereka tinggal dengan orang-orang yang mudah ‘terdedah’, kata pegawai.

“Kami lebih suka jika kes-kes asimptomatik dan ringan secara sukarela menyerahkan diri dan mengasingkan diri mereka di pusat-pusat pengasingan,” kata Harry Roque, jurucakap bagi Presiden Rodrigo Duterte, mempertahankan kuarantin paksa sebagai sesuatu yang sah.

“Ia adalah cuti berbayar dalam kemudahan berhawa dingin. Ia bukan seperti mereka ke kem paksaan atau penjara,” tambahnya.

Menteri Dalam Negeri, Eduardo Ano mengundang kecaman pada Selasa apabila dia mengatakan polis akan mencari orang-orang dijangkiti dan mengancam memenjarakan sesiapa sahaja yang cuba menyembunyikan simptom COVID-19.

“Penggeledahan polis dari rumah ke rumah membawa kepada beribu-ribu pembunuhan kejam dalam kempen perang dadah kerajaan,” kata kumpulan hak asasi tempatan, Karapatan, merujuk kepada kempen kontroversi Duterte memerangi dadah.

“Pencarian ini hanya akan mengancam pesakit dan keluarga mereka – apa yang akan polis lakukan jika pesakit enggan dibawa pergi, adakah mereka akan ditembak mati?” soal kumpulan itu. – AFP

Gambar fail pada 21 April menunjukkan anggota Pasukan Khas Polis Kebangsaan Filipina menggunakan pembesar suara bagi mengingatkan pelanggan untuk mengamalkan penjarakan sosial semasa kuarantin diperluaskan di Manila bagi mengelak penularan koronavirus. Polis Filipina sekali lagi akan dikerahkan bagi menguatkuasakan perintah kuarantin di negara itu. – AFP