DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 15 SEPT – Polis di Dubai berjaya merampas 86 juta tablet amfetamin yang dikenali sebagai Captagon yang tersembunyi dalam kontena yang menempatkan pintu dan panel bangunan hiasan, kata pihak berkuasa hari ini dengan anggaran nilai jualan melebihi AS$1 bilion.
Rampasan itu diadakan ketika penjualan amfetamin telah menjadi masalah Timur Tengah semasa perang Syria yang berpanjangan.
Video pengawasan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan suspek cuba membawa tablet Captagon melalui Pelabuhan Jebel Ali yang besar di Dubai. Tablet tersebut disembunyikan dalam lima kontena penghantaran pintu dan panel dengan berat dadah melebihi 13 tan, kata pihak berkuasa.
“UAE dianggap benteng kukuh menentang sebarang ancaman yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Emiriah,” kata Menteri Dalam Negeri, Sheikh Saif bin Zayed Al Nahyan dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa tidak mengenalpasti suspek yang ditangkap, tetapi mereka menggambarkan operasi ini sebagai ‘sindiket jenayah antarabangsa,’ tanpa menyebut punca dadah tersebut.

Pegawai polis antidadah Dubai, Mejar Jeneral Eid Mohammed Thani Hareb berkata dadah tersebut sepatutnya dihantar ke negara ketiga yang tidak dikenal pasti.
Anggaran nilai rampasan yang diberikan oleh pihak berkuasa menetapkan harga sebiji tablet hampir AS$12. Kosnya boleh mencecah AS$25 sebiji di Arab Saudi.
Syria dipercayai menjadi pengedar terbesar dunia bagi Captagon, semasa peperangan meletus.
Ratusan juta tablet telah diseludup selama bertahun-tahun ke Jordan, Iraq, Arab Saudi dan negara-negara Arab Teluk lain, di mana dadah tersebut digunakan secara rekreasi dan oleh individu dengan pekerjaan fizikal yang mencabar untuk meningkat kewaspadaan. – AP