Polis Ecuador keluarkan 800 mayat

GUAYAQUIL, ECUADOR, 13 APRIL – Polis mengeluarkan hampir 800 mayat sejak beberapa minggu lalu dari rumah sekitar Guayaquil, iaitu pusat penyebaran pandemik COVID-19 di negara berkenaan, selepas semua rumah pengebumian dan hospital dipenuhi mayat pesakit.

Pekerja pengebumian dilaporkan gagal menangani lambakan mayat, dengan penduduk setempat menyiarkan video di media sosial menunjukkan mayat tersadai di tepi jalan.

“Jumlah yang kami kutip melebihi 700,” kata Jorge Wated, ketua pasukan polis dan pegawai tentera ditubuhkan oleh kerajaan bagi membantu menangani pandemik berkenaan.

Menurut beliau, pasukan bertindak bersama itu menerima 771 mayat dari rumah persendirian dan sejumlah 631 lagi dari hospital, sejak memulakan operasi tiga minggu lalu.

Wated tidak menyatakan punca kematian pesakit, dengan 600 daripadanya sudah dikebumikan pihak berkuasa. – AFP

Pekerja membina kubur di tanah perkuburan Maria Canals di pinggir bandar Guayaquil, Ecuador pada 12 April tatkala jumlah kematian akibat COVID-19 meningkat. – AFP