Polis gerakan pemburuan banduan besar-besaran

MANAUS, 4 Jan – Polis Brazil melancarkan gerakan memburu besar-besaran para banduan yang melarikan diri ketika rusuhan di penjara yang berakhir dengan 56 tahanan dibunuh pesaing masing-ma-sing, kebanyakannya dipenggal.

Keseluruhannya, 184 banduan melarikan diri dari dua penjara di negeri Amazonas ketika kumpulan dadah bertindak membalas dendam ke atas pesaing mereka, kata pihak berkuasa.

Daripada jumlah itu, 130 masih bebas dan 54 berjaya ditahan semula, menurut kiraan terkini.

Polis mengadakan sekatan jalan raya di kawasan itu dan mengerahkan beberapa pasukan untuk mengesan banduan yang melarikan diri. “Kami harap dapat menangkap semua banduan menjelang akhir minggu ini,” kata Menteri Keselamatan, Sergio Fontes.

Rusuhan awal berlaku di Kompleks Penjara Anisio Jobim di ibu negeri wilayah itu, Manaus, disusuli kejadian di dua penjara lagi.

Anggota polis ketika melakukan operasi pemburuan banduan yang melarikan diri dari penjara Brazil. Polis Brazil melancarkan gerakan memburu besar-besaran ramai banduan yang melarikan diri ketika rusuhan di penjara yang berakhir dengan 56 tahanan dibunuh pesaing masing-masing, kebanyakannya dipenggal. – AFP
Anggota polis ketika melakukan operasi pemburuan banduan yang melarikan diri dari penjara Brazil. Polis Brazil melancarkan gerakan memburu besar-besaran ramai banduan yang melarikan diri ketika rusuhan di penjara yang berakhir dengan 56 tahanan dibunuh pesaing masing-masing, kebanyakannya dipenggal. – AFP

Pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan tetapi 72 banduan berjaya melarikan diri dari Institut Hukuman Antonio Trindade. Mereka menyertai 112 lagi yang sudah pun melarikan diri menerusi terowong di penjara Anisio Jobim.

Selain 56 banduan yang terbunuh di Anisio Jobim, empat maut dalam pertempuran antara tahanan di Unit Penjara Kawalan Ketat Puraquequara, juga di negeri Amazonas.

Saudara mara banduan berkumpul di luar bangunan forensik yang menyaksikan pakar berusaha mengenal pasti mayat pada Selasa.

“Saya mahukan berita mengenai anak lelaki saya, sama ada dia hidup atau mati. Mereka tidak memberitahu apa-apa kepada saya.

“Saya tidak tahu di mana dia atau sama ada dia sudah melarikan diri,” kata Ana Regina, 47.

Fontes berkata, pihak berkuasa mula menyerahkan mayat kepada saudara mara mereka pada Selasa. Walaupun usaha memburu dilakukan, seorang banduan tampil mempermainkan pihak berkuasa di Facebook.

Lelaki itu, Brayan Bremer, menyiarkan gambar dia dan beberapa lagi banduan memberikan isyarat bagus dan memakan buah-buahan. “Saya datang, berhati-hati wanita solo,” menurut satu siaran.

Pihak berkuasa tidak mengesahkan akaun berkenaan milik banduan yang melarikan diri. Namun ia menjadi tular di Brazil, mendapat 14,000 like di Facebook. – AFP