Polis guna gas pemedih mata halang pendatang

SOKOLKA, POLAND, 16 NOV – Pasukan polis melepaskan gas pemedih mata dan menyemburkan meriam air ke atas pendatang yang melontar batu kerana cuba merentasi sempadan dari Belarus hari ini, ketika pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko mendakwa dia ingin mengelak ‘konfrontasi’.

Pengawal sempadan Poland menganggarkan 4,000 pendatang ketika ini berkhemah di sepanjang sempadan antara Poland dan Belarus dalam keadaan dahsyat dan suhu beku.
Kuasa-kuasa Barat menuduh Belarus merancang krisis tersebut, berkemungkinan disokong oleh Rusia, dengan menarik pendatang ke sempadan untuk memasuki EU – dakwaan yang dinafikan oleh Minsk dan Moscow.

Ketegangan berhampiran sempadan Bruzgi-Kuznica bermula minggu lalu apabila ratusan pendatang berkumpul di sana.

“Pendatang menyerang tentera dan pegawai kami menggunakan batu dan cuba merosakkan pagar untuk memasuki Poland,” menurut kementerian pertahanan Poland hari ini, dengan video menunjukkan pertempuran berlaku di sempadan.

“Pasukan kami menggunakan gas pemedih mata untuk mengurangkan tindakan ganas pendatang.”

Polis Poland berkata seorang pegawainya mengalami kecederaan serius semasa pertempuran dan bekas gas pemedih mata turut dilontarkan kembali ke arah pegawai.

Rusia mengutuk tindakan Poland menggunakan gas pemedih mata dan menyemburkan meriam air ke atas pendatang, dengan Menteri Luar, Sergei Lavrov menggelarnya ‘sesuatu yang tidak boleh diterima’.- AFP

Seorang pendatang cuba merosakkan pagar sempadan Belarus-Poland. Polis Poland melepaskan gas pemedih mata dan menyembur meriam air untuk meleraikan bantahan pendatang yang melontar batu.- AFP