Polis hapus kem pendatang

PARIS, 7 NOV – Polis Perancis mengusir ratusan pendatang dari dua khemah di utara Paris hari ini, sehari selepas kerajaan melancarkan beberapa siri langkah untuk ‘mengawal semula’ penghijrahan.

Kira-kira 600 pegawai polis mengiringi pendatang dari khemah di mana bas membawa mereka ke pusat resepsi, dalam operasi yang bermula pada kira-kira pukul 6 pagi, kata wartawan AFP.

Kedua-dua kem berhampiran Porte de la Chapelle, dilindungi di bawah jalan keliling di sekitar ibu negara, dipercayai menempatkan di antara 600 dan 1,200 pendatang. Kebanyakan penghuni, yang termasuk keluarga dengan anak mereka, berkata mereka berasal dari Afghanistan atau Afrika Sahara.

“Saya tidak membenarkan situasi berbahaya seperti ini, kesemua ini tidak boleh tinggal,” beritahu ketua polis Paris Didier Lallement kepada wartawan di tempat kejadian.

Beliau berkata operasi itu, salah satu yang terbesar di Paris sejak khemah sering muncul pada 2015, ‘diputuskan dalam rangka kerja pelaksanaan pelan kerajaan, ia tidak berlaku secara kebetulan.’

Pihak kerajaan Presiden Emmanuel Macron telah berikrar akan bertindak keras ke atas pendatang haram, satu tindakan yang dilihat sebagai satu usaha untuk mengelak parti sayap kanan daripada melencongkan pengundi sebelum pilihan raya perbandaran tahun depan.

“Kami mahu mengawal semula dasar imigresen kami,” beritahu Perdana Menteri Edouard Philippe pada sidang akhbar semalam, melancarkan beberapa siri langkah yang dikatakan oleh beliau bertujuan memperkukuh ‘kedaulatan’ Perancis.

Beliau juga berkata 16,000 tempat akan disediakan di tiga pusat pendatang baharu, dalam usaha untuk menghalang pendatang daripada mendirikan petempatan baharu. – AFP

Pendatang diusir oleh polis di Paris pada 7 November. – AFP