Polis Iran rampas dua tan morfin, dua ditangkap

TEHRAN, IRAN, 11 JUN – Polis Iran dalam serbuan telah merampas dua tan morfin dari penyeludup dadah di sub bandar kota Tehran, lapor agensi berita separa rasmi ISNA hari ini.

Ketua polis wilayah Tehran, Jeneral Mohsen Khancherli, berkata dua penyeludup, termasuk ketua sindiket geng penyeludup telah ditangkap. Menurutnya salah seorang tahanan telah memindahkan dadah itu ke Tehran dari bahagian barat daya negara itu menggunakan trak.

Tahanan kedua, yang dipercayai ketua sindiket, telah menyelaras operasi dari wilayah lain, secara jarak jauh, kata Khancherli.

Pihak berkuasa Iran sering merampas kuantiti besar narkotik, namun rampasan itu adalah morfin terbesar dalam masa berbulan-bulan. – AFP