MUNICH, Jerman, 13 Jun – Seorang pegawai polis Jerman cedera parah, manakala dua pejalan kaki cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah stesen kereta api komuter berhampiran bandar Munich selatan Jerman hari ini sebelum mencederakan dirinya sendiri dan ditahan, kata polis.
Seorang jurucakap polis Munich, Marcus da Gloria Martins, memberitahu para wartawan bahawa tiada tanda-tanda yang menunjukkan motif ‘politik mahupun agama’ di sebalik insiden yang berlaku pada pagi hari yang sibuk itu.
“Penembak lelaki itu mungkin bermotifkan sebab peribadi,” katanya.
Polis mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai warga Jerman berusia 37 tahun namun tiada maklumat diperolehi sama ada dia mempunyai rekod jenayah lampau.
Martins berkata lelaki itu cuba untuk menolak seorang pegawai polis di hadapan kereta api yang muncul di stesen S-Bahn di Unterfoehring, sub bandar timur laut bandar Bavaria.
Berlakunya pergelutan semasa penyerang merampas senjata pegawai dan melepaskan tembakan.
“Pegawai polis itu telah ditembak di kepala dan cedera parah,” kata Martins.
Dua orang awam yang berada di stesen itu cedera parah namun tidak dalam bahaya dan mereka kini dirawat di hospital tempatan.
“Penyerangnya yang juga cedera itu telah ditangkap. Tiada ada tanda-tanda jenayah lain selanjutnya,” menurut tweet polis lain.
“Kawasan di sekitar stesen kereta api sub bandar Unterfoehring itu telah ditutup.”
Para pegawai telah dipanggil ke tempat kejadian pergelutan berlaku dalam kalangan beberapa orang dalam kereta api itu, menurut saksi.
Kereta api itu dihentikan di stesen Unterfoehring dan orang yang bergaduh telah diheret keluar oleh polis. – AFP