BERLIN, 13 Mei – Polis Jerman berkata hari ini dua mayat telah ditemui semasa siasatan ke atas kematian tiga orang yang ditemui di bilik hotel Bavaria dan dibunuh menggunakan bolt busur silang.
Dua mayat wanita ditemui berhampiran bandar utara Hanover ketika detektif menyiasat kematian misteri seorang lelaki dan dua wanita yang ditemui pada hujung minggu di bandar Passau, Bavaria, dekat sempadan Austria.
Dua tempat jenayah berjarak 645km di hujung sebelah Jerman. Polis berkata mereka menemui mayat dua wanita semasa memeriksa rumah salah seorang wanita yang ditemui mati di Passau.
Tiada butiran lanjut diberikan sama ada dua mayat terbaru di daerah Gifhorn, Lower Saxony itu juga dibunuh menggunakan bolt busur silang.
Pada Sabtu, kakitangan hotel di Passau menemui tiga warga Jerman di bilik mereka sekitar tengah hari di samping dua busur silang.
Busur silang ketiga kemudian ditemui dibungkus dalam sebuah beg, kata polis. – AFP



































