Polis kesan modus operandi judi haram beralih ke kampung

TAWAU, 10 JUN – Sindiket perjudian haram di Sabah dikesan beralih modus operandi dengan melakukan aktiviti tersebut di kawasan kampung yang sukar dijejak polis, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Katanya, sindiket berkenaan melakukan kegiatan perjudian haram dengan masuk jauh ke dalam kawasan kampung yang hanya boleh dilalui dengan motosikal.

“Namun kita akan terus melakukan tindakan membasmi sindiket ini dan tidak akan berkompromi dengan aktiviti perjudian haram di Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tawau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengarahkan semua Ketua Polis Daerah untuk melakukan operasi membanteras kegiatan berkenaan di kawasan masing-masing.

“Saya tidak nafikan wujud sindiket perjudian berlesen tetapi kita mesti lakukan operasi setiap hari, memantau perjudian haram, pusat hiburan termasuk kafe siber,” katanya lagi.

Omar mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam memberikan maklumat berkaitan judi haram kepada polis sebagai membantu keberkesanan polis membasmi sindiket perjudian haram di Sabah.

Beliau turut menerima baik cadangan kerajaan negeri yang mahu membatalkan lesen perjudian di Sabah. – Bernama