Polis kesan taktik ‘barter trade’ dadah

LANGKAWI, 18 JULAI – Polis berjaya mengesan cubaan menyeludup masuk dadah dengan melakukan ‘barter trade’  di tengah laut melibatkan nelayan tempatan dengan nelayan dari negara jiran di kawasan perairan pulau ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata kegiatan tersebut dikesan hasil operasi membanteras pengedaran serta penyeludupan bahan terlarang itu yang sedang giat dilakukan polis serta beberapa agensi lain bagi membersihkan pulau ini.

“Kita ada maklumat mereka ini melakukan urusan ‘barter trade’ di tengah laut, ada beberapa tangkapan sudah dilakukan semasa cubaan membawa masuk dadah ke Langkawi ini melibatkan nelayan tempatan dan nelayan dari negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan Operasi Unit Anjing K9 di Terminal Feri Kuah, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Helmi Aris dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim.

Mengulas mengenai dua ekor anjing pengesan iaitu dari ‘Laomao’ dari Unit K9 Kuala Muda dan ‘Dike’ dari Unit K9 Bukit Kayu Hitam yang ditempatkan di jeti tersebut sejak seminggu lalu, Zainuddin berkata penggunaan anjing ini merupakan satu keadah lebih berkesan dari pemeriksaan fizikal oleh anggota polis ke atas orang awam sekali gus membendung cubaan membawa masuk dadah ke pulau peranginan ini.

“Pemeriksaan fizikal kita tidak boleh nampak sebaliknya anjing ini boleh menghidu bau di dalam kotak mahupun bungkus. Sejak seminggu kaedah ini digunakan belum ada sebarang tangkapan atau rampasan dadah melibatkan penumpang feri dilakukan,” katanya. – Bernama

‘Dike’ anjing pengesan Unit K9 Bukit Kayu Hitam memeriksa kotak semasa operasi membanteras pengedaran serta penyeludupan dadah di Terminal Jeti Kuah di sini kelmarin. – Bernama