Polis ketahui punca pembunuhan

BANGKOK, 12 Jun – Kejadian lima lelaki yang dibunuh secara kejam di wilayah Yala, di selatan Thailand semalam dipercayai berpunca daripada konflik yang berlaku dalam peniagaan dadah tempatan, kata seorang pegawai kanan polis.

Beliau membuat dakwaan tersebut berasaskan hasil siasatan awal yang lakukan terhadap kejadian pada 1 pagi (waktu tempatan) itu.

“Kami tidak menolak kemungkinan lain, tetapi siasatan kami menunjukkan mangsa terlibat dengan dadah,” kata timbalan jurucakap Polis Diraja Thailand Kol Krissana Pattanacharoen di sini sambil menjelaskan bahawa siasatan sedang diteruskan untuk mengesan pembunuh terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Thailand Jen Chakthip Chaijinda mengarahkan penyiasat mempercepatkan siasatan tentang kejadian itu serta memberkas mereka yang bertanggungjawab di sebaliknya.

Dalam kejadian itu, lima mangsa yang sedang berehat di sebuah rumah di Mukim Tanah Putih, Banang Setar di Yala, diserang beberapa lelaki bersenjatakan shotgun dan M-16.

Media memetik penyiasat sebagai berkata kebanyakan mangsa ditikam di bahagian belakang serta mulut sebelum ditembak mati.

Pegawai Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah Empat Kol Tanawee Suwannarat berkata siasatan pihak tentera menunjukkan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan konflik di selatan Thailand.

Menurut beliau, pembunuh datang ke rumah itu dengan menaiki dua motosikal.

Pembunuhan lima lelaki di Yala semalam berlaku selepas satu lagi keganasan tercetus di selatan Thailand yang menyaksikan 14 terbunuh dalam tempoh 72 jam lepas, termasuk timbalan ketua Majlis Hal Ehwal Islam Pattani Adulej Chaknae. – Bernama