Polis Kyrgyz tahan puluhan penunjuk perasaan wanita

BISHKEK, KYRGYZSTAN, 8 MAC – Polis di Kyrgyzstan hari ini menahan puluhan penunjuk perasaan – sebahagian besar daripada mereka wanita – pada perhimpunan bagi memperingati Hari Wanita Antarabangsa selepas lelaki bertopeng menyerang dan merobek pelekat mereka semasa perhimpunan itu.

Seorang wartawan AFP melihat berpuluh-puluh wanita ditahan dan dibawa menggunakan kenderaan polis di pusat ibu kota Bishkek, di mana kumpulan wanita itu mula melakukan perhimpunan.

Penangkapan itu berlaku selepas lelaki yang memakai topeng muka menyerang orang ramai, merobek poster mereka, melontarkan telur pada perhimpunan tersebut sebelum melarikan diri.

Erlan Atantayev, timbalan ketua jabatan polis Sverdlovsky memberitahu AFP bahawa penunjuk perasaan telah ditahan demi keselamatan mereka dan kerana polis tidak diberi amaran mengenai perhimpunan itu.

“Pertembungan bermula antara penunjuk perasaan dan lelaki bertopeng itu,” kata Atantayev.

“Kami juga menahan mereka kerana melanggar ketenteraman awam.”

Atantayev berkata beberapa penunjuk perasaan boleh dikenakan denda kerana menentang polis. Polis juga menahan tiga penye-rang lelaki semasa perhimpunan itu diadakan. – AFP