Polis maut dalam serbuan ayam sabung

MANILA, 27 OKT – Seorang pegawai polis Filipina terbunuh dalam satu serbuan perlawanan ayam sabung selepas pisau yang diikat pada ayam sabung tersebut mencederakan polis berkenaan sehingga maut, kata seorang pegawai hari ini.

Ayam sabung adalah perlawanan yang popular di Nusantara di mana wang telah dipertaruhkan untuk perlawanan itu – yang sering kali berakhir dengan kematian – antara dua haiwan berkenaan yang dibekalkan dengan senjata pisau.

Bagaimanapun perlawanan tersebut telah diharamkan bersama beberapa sukan lainnya bagi mencegah perhimpunan ramai semasa penularan wabak COVID-19.

Kemalangan aneh kelmarin di wilayah tengah Samar Utara berlaku ketika Leftenan Christian Bolok mengambil ayam jantan tersebut untuk mengumpulkan bukti di tempat kejadian. Polis berkenaan bagaimanapun maut selepas bilah pisau ayam tersebut mengenai paha kirinya, kata ketua polis wilayah Kolonel Arnel Apud kepada AFP.

“Ia adalah kemalangan yang tidak diingini dan nasib buruk yang tidak dapat saya jelaskan,” kata Apud.

“Saya tidak dapat mempercayainya ketika pertama kali dilaporkan kepada saya,” tambahnya.

Tiga orang ditangkap dan dua peralatan perlawanan dirampas dalam serbuan di bandar San Jose di mana Bolok adalah ketua polis, tambah Apud. – AFP