RIO DE JANEIRO, 8 Feb – Kerajaan Brazil kelmarin mengerahkan pasukan tentera ke bandar tepi pantai Vitoria yang berada dalam ancaman penjenayah susulan mogok polis.
Pasukan tentera dihantar berikutan ancaman keselamatan awam serius selepas diminta oleh negeri Espirito Santo, kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan.
Menurutnya, askar-askar akan tertumpu di ibu negeri berkenaan, Vitoria yang terletak ke tenggara bandar raya Rio de Janeiro.
Menteri Pertahanan Brazil, Raul Jungmann juga dijadualkan melawat Vitoria kelmarin.
Kerahan itu dibuat selepas anggota dan pegawai polis yang dibantu saudara-mara dan penduduk setempat mengadakan mogok di beberapa balai polis di Vitoria sejak Sabtu lalu kerana membantah gaji mereka tidak dibayar.

Media Brazil melaporkan, ketiadaan rondaan oleh anggota-anggota polis menyebabkan insiden pecah masuk kedai, curi kereta dan pelbagai jenayah lain melonjak pada hujung minggu lalu.
Pelajar-pelajar berada di rumah, manakala sekolah akan terus ditutup bergantung kepada situasi keselamatan semasa, kata seorang jurucakap pejabat Datuk Bandar Vitoria.
Bandar raya itu dan kawasan sekitarnya mempunyai lebih 1.8 juta penduduk, manakala seramai 3.9 juta orang tinggal di negeri Espirito Santo. – AFP