GEORGE TOWN, 13 JUN – Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan lapan lelaki termasuk dua warga Thailand serta merampas 840 kilogram (kg) ganja bernilai RM2.12 juta dalam dua serbuan di Pulau Pinang pada Jumaat dan Sabtu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, JSJN Bukit Aman bersama JSJN Pulau Pinang melancarkan operasi di kawasan perumahan di Sungai Bakap, Nibong Tebal dekat sini dan menahan tujuh lelaki.
“Dalam serbuan pukul 1 pagi Jumaat itu, semua lelaki tersebut sedang memunggahkan ketulan-ketulan ganja dari sebuah lori ke sebuah rumah di situ sebelum polis merampas 848 ketulan mampat ganja seberat 840kg yang kesemuanya bernilai RM2.12 juta
“Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki iaitu geng sindiket tersebut di Simpang Ampat, juga di Nibong Tebal. Tiada sebarang rampasan dadah dibuat bersama suspek berkenaan. Semua suspek yang ditahan termasuk dua lelaki Thailand itu berusia 35 hingga 59 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya berdasarkan siasatan, rampasan dadah itu yang merupakan terbesar di Pulau Pinang pada tahun ini, membabitkan rangkaian penyeludup dari Thailand dan dadah untuk pasaran dalam negeri ini.
Ayub Khan berkata sindiket itu menyeludup masuk ganja dari selatan Thailand iaitu Satun menerusi perairan Malaysia sebelum semua ganja tersebut disimpan di sebuah rumah yang dijadikan stor sindiket tersebut di Sungai Bakap. – Bernama