Polis Myanmar tangkap 3 berhubung kes bunuh wartawan

YANGON, 3 Jan – Polis Myanmar hari ini berkata mereka telah menangkap tiga orang berhubung pembunuhan jurnalis tempatan yang terkenal dengan siasatannya berkaitan pembalakan haram dan rumah pelacuran.

Mayat Soe Moe Tun, wartawan Eleven Media, ditemui bulan lepas di tepi jalan raya di Monywa, barat laut Mandalay.

Myanmar menamatkan sekatan penapisan media rasmi pada 2012 selepas junta tentera menyerahkan kuasanya, namun jurnalis masih lagi berdepan intimidasi kerana menyiasat topik-topik yang mencetuskan kontroversi.

Kira-kira empat wartawan telah dibunuh di Myanmar sejak 1999, menurut Jawatankuasa Perlindungan bagi Jurnalis berpangkalan di New York.

Sumber media tempatan berkata Soe Moe Tun telah melaporkan tentang industri perlombongan, pembalakan haram dan pertumbuhan bilik-bilik karaoke bagi rumah pelacuran sebelum kematiannya.

Thein Swe Myint, seorang pegawai dari balai polis Monywa, berkata pihak berkuasa telah menangkap tiga suspek selepas menyoal siasat kira-kira 40 orang berhubung pembunuhan itu.

“Mulanya kami menangkap dua orang dari operator tempatan KTV (karaoke) dan kami telah menangkap seorang lagi yang biasa menjadi pemandu trak pembalakan,” ujarnya kepada AFP.

Rantau Saigang, tempat Soe Moe Tun bekerja, adalah pusat bagi perlombongan dan pembalakan bagi kayu jati berharga Myanmar.

Kebanyakan balak tersebut diseludup keluar dari negara itu ke India dalam perdagangan haram yang dikatakan bernilai bilion dolar. – AFP