Polis New York bubarkan unit berpakaian preman

NEW YORK, 16 JUN – Pasukan polis terbesar Amerika, Jabatan Polis New York (NYPD) dijangka membubarkan unit antijenayah berpakaian preman, kata pesuruhjayanya semalam, tatkala gesaan meminta pembaharuan polis tersebar di seluruh Amerika Syarikat (AS) susulan bantahan anti-perkauman.

Pesuruhjaya Jabatan Polis New York, Dermot Shea berkata 600 pegawai akan ditugaskan ke jabatan lain termasuk kerja-kerja detektif dan rondaan kawasan perumahan.

“Jangan silap, ia merupakan peralihan seismik dalam budaya bagaimana NYPD mengawal bandar besar ini,” beritahu Shea kepada wartawan.

Unit itu menumpu dalam menyasarkan jenayah ganas dan telah terbabit dalam beberapa kejadian tembakan polis paling terkenal di bandar New York, menurut akhbar New York Times.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk maju ke depan dan mengubah cara kami mengawal bandar ini. Kami boleh melakukannya dengan otak, kami boleh melakukannya secara tipu muslihat, kami boleh beralih daripada kekerasan,” tambah Shea.

Pengumuman itu keluar tatkala NYPD menghadapi kritikan kerana menggunakan taktik keras ke atas pembantah yang menunjuk perasaan terhadap kematian George Floyd di Minneapolis pada bulan lalu. – AFP