Polis Nigeria serbu ‘kilang anak damit

LAGOS, 6 MAC – Polis Nigeria berjaya menyelamatkan 13 individu, termasuk kanak-kanak dan enam wanita hamil dari sebuah klinik haram di negeri Ogun, kata jurucakap hari ini.

Kesemua wanita berkenaan, berusia antara 20 dan 25 memberitahu polis, mereka dihamilkan seorang lelaki yang diupah pemilik klinik, bagi membolehkan anak damit dikandung itu dijual pada harga lumayan.

Premis diberi jolokan ‘kilang anak damit’ itu pada dasarnya ialah sebuah premis haram yang menyamar sebagai klinik swasta, khusus menempatkan wanita hamil dan anak damit mereka sebelum dijual. Dalam sesetengah kes, wanita muda ditahan secara paksa dan dirogol sehingga mengandung, sebelum anak damit mereka dijual di pasaran gelap. “Operasi itu dilancarkan pada 28 Februari lalu apabila seorang penghuni berjaya melarikan diri dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” kata jurucakap. Abimbola Oyeyemi.

Oyeyemi berkata, mereka turut menahan pemilik premis dan dua lelaki, dipercayai diupah untuk menghamilkan kesemua wanita terbabit. – AFP