Polis pastikan pelancong patuhi SOP di Langkawi

KUALA KEDAH, 12 SEPT – Polis akan melaksanakan pemantauan lebih ketat dan menyeluruh di Langkawi bagi memastikan pelancong mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pelaksanaan gelembung pelancongan di pulau itu, bermula 16 September ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi akan mengatur gerak dan mungkin menambah keanggotaan bagi memastikan peme-riksaan pematuhan SOP dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Walaupun dibuka secara gelembung, semua pengunjung perlu mematuhi setiap SOP yang telah ditetapkan. Mereka yang nak ke Langkawi juga kena ada surat kebenaran polis.

“Kena dapatkan kebenaran di tempat mereka duduk, contohnya kalau duduk di kawasan Brickfields (Kuala Lumpur), kena dapatkan surat daripada Brickfields (balai polis),” katanya yang ditemui pemberita ketika meninjau sekatan jalan raya di Jalan Kuala Kedah di sini hari ini. – Bernama