Polis Perak tumpas sindiket judi warga China

IPOH, 13 DIS – Polis Perak berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian yang didalangi warga China selepas tertangkapnya 18 individu termasuk empat wanita.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 20an ditahan dalam satu serbuan dekat sini, petang semalam.

Katanya dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas 46 telefon bimbit, 16 komputer riba serta wang tunai berjumlah RM734.

“Berdasarkan laporan pakar penyiasatan, sindiket ini menjurus kepada perjudian dalam talian yang menyasarkan warga China. Mereka ini menggunakan bayaran melalui aplikasi WeChat dan telah bertapak di sini selama dua minggu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis Ujian Kemahiran Menembak Polis Diraja Malaysia Sempena Peringatan Hari Polis ke-212 di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Razarudin berkata kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – Bernama